Breaking News

Friday, November 7, 2014

"Usah Cabar Hukum Tuhan" (Isu Lelaki Berpakaian Wanita)

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan perlembagaan seolah-olah seperti tindakan mencabar hukum Allah S.W.T. Menurut beliau, lelaki berpakaian seperti perempuan atau pun sebaliknya adalah salah satu perkara yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Katanya, tindakan Mahkamah Rayuan itu seolah-olah menghalalkan perkara yang haram dan ianya akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.

“Ianya adalah kehendak dan juga hukum agama Islam bukannya adat untuk kita sesuka hati menghalalkan. Haram untuk lelaki menyerupai wanita. “Saya amat sedih, undang-undang tersebut diwujudkan bagi menjaga akhlak orang Islam untuk tidak melanggar hukum syarak Islam. Tetapi sekarang ianya seperti dihalalkan. “Dengan keputusan yang dibuat, masyarakat khususnya orang Islam akan bebas melakukan dosa dan melanggar syarak Islam tanpa rasa takut. Jangan kita mengundang bala” katanya ketika ditemui di pejabatnya pada Jumaat.

Dr. Harussani juga turut menasihatkan orang ramai untuk memahami ilmu agama dengan lebih mendalam supaya setiap perbuatan tidak akan bercanggah dengan fahaman agama Islam.
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menyatakan, keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah sebagai tidak sah.

“Ini adalah konflik undang-undang yang serius namun masyarakat Islam perlu menghormati keputusan mahkamah dan tidak membuat sebarang pertimbangan dengan emosi” "Mereka yang membuat keputusan adalah golongan profesional yang pastinya tahu tafsiran undang-undang. Oleh itu kita harus hormati pandangan mereka dan tidak membuat kenyataan mengikut emosi," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau mencadangkan agar kerajaan melihat semula kedudukan undang-undang syariah dan konvensional agar masyarakat tidak keliru.

"Masyarakat memerlukan kaedah dan peraturan yang stabil agar tidak timbul konflik dalam mengambil sebarang keputusan," katanya ketika dihubungi malam ini.

Sebelum ini panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Beliau berkata keinginan untuk berpakaian seperti wanita dan diiktiraf sebagai seorang wanita dikenal pasti sebagai sebahagian masalah dari segi perubatan dan tiada rawatan farmakologi atau terapi psikologi yang telah dibuktikan secara saintifik bagi mengatasi masalah seperti itu.




No comments:

Post a Comment

Designed By VungTauZ.Com